INDICATOR
PENGENALAN
Indikator adalah alat analisis yang digunakan dalam kajian teknikal analisis yang dicipta daripada gabungan formula matematik, seterusnya digunakan untuk membantu pedangang dan pelabur saham untuk mencipta keputusan dalam “trading plan”.
Terdapat pelbagai jenis indikator yang telah dicipta dan setiap indikator mempunyai ciri-ciri dan fungsi penggunaan yang berbeza untuk mengenalpasti isyarat dan trend tertentu dalam kajian carta pergerakan harga saham.
Selain itu, terdapat juga indikator yang digunakan untuk meramalkan pergerakan harga ke hadapan dan ada juga indikator yang menggunakan data pergerakan harga masa di lalu untuk menjangkakan momentumnya ke hadapan.
Seterusnya, penggunaan sesuatu indikator bergantung kepada keselesaan dan kesesuaian oleh individu yang menggunakannya.
Tiada bilangan yang tepat untuk jumlah indicator yang boleh digunakan dalam pasaran saham kerana setiap waktu akan terciptanya indicator yang telah diubahsuai untuk di sesuaikan dengan keadaan market semasa.
Pilihan utama indicator yang kerap digunakan oleh pedagang dan pelabur saham
1. VOLUME
Setiap pergerakkan naik turun harga dipengaruhi oleh jumlah transaksi jual beli unit saham yang didagangkan atau didalam bahasa chart kita panggil sebagai volume. Terdapat 2 jenis volume iaitu volume belian dan juga volume jualan. Jumlah volume belian dan volume jualan akan dipaparkan sebagai total volume di chart saham. Jadi, untuk menaikkan harga saham, volume belian biasanya melebihi volume jualan begitu juga sebaliknya. Jadi untuk memahami pergerakkan halatuju kaunter saham, kajian boleh dibuat pada analisis hubungan volume dengan harga. Dalam bahasa saintifiknya, iainya dikenali sebagai Price Volume Action atau singkatannya PVA.
2. MOVING AVERAGE (MA)
MA adalah indikator yang menunjukkan hasil purata pergerakan harga saham dengan menggunakan data pergerakan harga pada masa lalu dalam julat tempoh tertentu. MA dapat membantu mengenal pasti corak pergerakan harga saham bagi menentukan tahap sokongan dan rintangannya dan juga dapat menjangkakan kemungkinan corak pergerakan harga pada masa hadapan. Dengan menggunakan MA, impak turun naik jangka pendek secara rawak terhadap pergerakan harga saham dalam jangka masa yang ditentukan dapat dikurangkan.
Dua jenis MA yang popular dan kerap digunakan ialah Simple Moving Average (SMA) dan Exponential Moving Average (EMA), di mana SMA dikira menggunakan formula purata harga biasa manakala EMA pula dikira dengan lebih weightage kepada harga pada hari yang terdekat berbanding hari yang terdahulu.
Data yang digunakan bergantung pada panjang MA. Sebagai contoh, MA20 memerlukan 20 hari data pergerakan harga saham dan MA50 memerlukan 50 hari data pergerakan harga saham dan begitulah seterusnya.
Para pelabur bebas dalam memilih apa jua panjang MA yang mereka mahukan. Antara panjang MA yang kerap digunakan ialah 10, 20, 50, 100, dan 200 hari bergantung kepada objektif jangka masa pelaburan masing-masing. Semakin pendek panjang MA, semakin sensitif MA terhadap perubahan harga dan begitulah sebaliknya.
Namun, tidak ada panjang MA yang tepat untuk digunakan dalam mengenalpasti corak pergerakan harga saham. Cara terbaik untuk mengetahui panjang MA yang paling sesuai untuk anda adalah dengan menguji beberapa panjang MA yang berlainan sehingga anda menjumpai panjang MA yang sesuai dengan strategi anda.
3. MOVING AVERAGE CONVERGENCE DIVERGENCE (MACD)
Moving Average Convergence Divergence (MACD) merupakan indicator yang diperkenalkan oleh Gerald Appel pada tahun 1970-an bagi menentukan momentum harga dan corak pergerakan harga jangka masa pendek. Indicator ini terdiri daripada garisan MACD (biru), garisan signal (merah) dan juga satu histogram. Garisan MACD terbentuk berdasarkan perbezaan antara EMA12 dan EMA26, manakala garisan signal terbentuk berdasarkan EMA9. Histogram pula mewakili perbezaan antara garisan MACD dan garisan signal.
MACD boleh digunakan sebagai penunjuk arah trend untuk mengukur kekuatan trend semasa dan juga digunakan sebagai penunjuk entry point bagi menentukan kedudukan beli dan jual sesuatu kaunter saham. Penunjuk arah trend ini dapat ditunjukkan apabila garisan MACD berada di atas paras 0 yang menggambarkan trend pergerakan harga berada dalam keadaan positif dan begitulah sebaliknya. Bagi penunjuk entry point pula, buy signal ditunjukkan apabila garisan MACD melepasi ke atas garisan signal dan sell signal ditunjukkan apabila garisan MACD melepasi ke bawah garisan signal.
4. RELATIVE STRENGTH INDEX (RSI)
RSI merupakan indikator yang dicipta oleh J. Wellers Wilder pada tahun 1978 yang diulas dalam buku beliau, New Concepts in Technical Trading System. Indikator RSI berfungsi untuk mengenal pasti momentum sesuatu kaunter saham yang berada dalam keadaan overbought dan oversold. Indikator RSI terdiri daripada garisan RSI dan juga paras nombor berjulat 0-100. Kedudukan overbought ditunjukkan apabila garisan RSI melepasi paras 70 dan kedudukan oversold ditunjukkan apabila garisan menjunam di bawah paras 30.
Apabila RSI yang melebihi paras 70 kebiasaannya momentum belian akan berkurangan kerana para pelabur menganggap harga sudah overprice yang akan menyebabkan berlaku pembetulan harga (correction). Oleh itu, sekiranya garisan RSI melebihi paras 70, para pelabur mengambil peluang ini untuk melakukan penjualan pada harga yang lebih tinggi. Begitu juga sebaliknya apabila garisan RSI menjunam kurang daripada paras 30, ini boleh dijadikan sebagai petunjuk untuk melakukan pembelian kerana harga sudah underprice. Namun, penggunaan indikator RSI sahaja tidak mencukupi yang perlu digabungkan dengan indikator lain untuk menyakinkan pelabur melakukan keputusan pelaburan.
5. STOCHASTIC
Stochastic adalah indikator yang diperkenalkan oleh George Lane pada tahun 1950-an yang digunakan untuk menentukan momentum pergerakan harga sesebuah kaunter saham pada masa tertentu. Kadar sensitiviti momentum sesuatu kaunter bergantung kepada jangka masa yang ditetapkan. Stochastic ini digambarkan dalam bentuk gelombang yang akan membentuk kitaran Overbought dan Oversold. Overbought akan terbentuk sekiranya julat gelombang melebihi paras 80 dan oversold pula akan terbentuk jika julat gelombang berada pada paras di bawah 20. Para pelabur akan mengambil peluang untuk membeli sesuatu kaunter saham apabila di paras oversold dan menjualnya pada paras overbought.
6. BOLLINGER BANDS
Bollinger bands adalah petunjuk yang diperkenalkan oleh John Bollinger yang terdiri daripada garisan atas (upper band), garisan tengah (middle band) dan garisan bawah (lower band). Upper band terdiri daripada sisihan piawai (standard deviation) MA dengan setting default, middle band merupakan MA20 dan lower band merupakan sisihan piawai (standard deviation) yang sama dengan upper band.
Indikator ini digunakan untuk mengukur volatility dalam sesuatu kaunter saham yang dapat memberi gambaran tempoh kaunter yang sedang aktif dan kaunter saham yang sedang berehat. Strategi Bollinger Bands boleh digunakan untuk mendapatkan keuntungan daripada keadaan oversold (harga berada dalam keadaan murah) atau overbought (harga berada dalam keadaan mahal) sesuatu kaunter saham. Harga dianggap berada di paras overbought apabila sudah menyentuh upper band dan dianggap berada di paras oversold apabila menyentuh garisan lower band.
Antara teknik yang boleh digunakan dengan menggunakan Bollinger Bands adalah Bollinger Band Squeeze, Bollinger Band Breakout dan Bollinger Band Swing.
7. INDIKATOR FIBONACCI
Indikator Fibonacci adalah petunjuk yang dicipta oleh seorang ahli mathematician dari Italy yang bernama Leonardo Pisano Bigollo atau lebih dikenali sebagai Fibonacci. Indikator Fibonacci berasal daripada nombor Fibonacci yang merupakan gandaan daripada urutan nombor yang bermula daripada nombor 0, nombor kedua adalah 1 dan setiap nombor seterusnya bersamaan dengan tambahan dua nombor yang terdahulu pada urutannya sendiri.
Indikator Fibonacci mempunyai dua jenis teknikal analisis iaitu Fibonacci Retracement dan Fibonacci Extension. Fibonacci Retracement digunakan untuk mengenal pasti paras sokongan dan rintangan semasa pullback manakala Fibonacci Extension digunakan untuk mengenal pasti sambungan paras rintangan.
Ada beberapa paras fibonacci yang diplot pada carta iaitu 23.6%, 38.2%, 50.0%, 61.8% dan 78.6%. Namun paras 38.2%, 50.0%, 61.8% dikenali sebagai golden ratio bagi Fibonacci retracement dan 161.8% merupakan golden ration bagi Fibonacci extension kerana paras tersebut kebiasaanya dijadikan rujukan sokongan dan rintangan.
8. ICHIMOKU CLOUD
Ichimoku Cloud merupakan penunjuk yang dicipta oleh seorang wartawan dari Tokyo dan kumpulannya sejak tahun 1968 dan menjadi popular pada tahun 1970-an. Indikator ini berfungsi untuk mengukur kekuatan trend semasa untuk menjangkakan pergerakan harga pada masa hadapan dan juga mengukur paras sokongan dengan menggunakan Kumo. Indikator ini memberikan lebih banyak data berbanding indikator yang lain kerana terdiri daripada Tenkan, Kijun, Chikou dan Awan Kumo yang mempunyai kegunaan yang berbeza dalam satu indikator seperti berikut.
Tenkan merupakan pergerakan harga selama 9 hari yang merupakan signal paling laju bergerak. Sekiranya Tenkan berada di atas Kijun, ia menunjukkan pergerakan harga sudah memasuki fasa bullish.
Kijun merupakan pergerakan harga selama 26 hari yang boleh dijadikan paras trailing stop atau paras cut loss. Sekiranya harga berada di atas paras Kijun maka ia menunjukkan fasa bullish dan begitulah sebaliknya.
Chikou merupakan harga 26 hari ke belakang dan sekiranya Chikou berada di atas paras harga maka itu menunjukkan fasa bullish dan sekiranya Chikou berada di bawah paras harga maka itu menggambarkan bearish.
Awan Kumo pula dianggap sebagai sokongan dan rintangan. Sekiranya harga berada di atas paras awan Kumo maka itu adalah petunjuk kepada trend bullish dan sebaliknya jika harga berada di bawah paras awan Kumo maka itu adalah petunjuk trend bearish. Namun, sekiranya harga berada dalam lingkungan Awan Kumo, maka itu pergerakan harga tidak dapat dipastikan ke mana arah pergerakan sama ada bullish atau bearish.
PENUTUP
Secara kesimpulannya penggunaan indicator adalah satu alat bantuan untuk mencipta peluang untuk mendapatkan keuntungan dalam saham, setiap indicator mempunyai kelebihan yang tersendiri dan bergantung pada minat dan kesesuaian seseorang pedagang dan pelabur saham.
